Carian

Khazanah Landskap Negara Dikekalkan

  • December 01, 2020
  • Pentadbir Sistem Utama
  • Media
  • 71

Dapatkan dipautan bit.ly

Tindakan progresif itu kemudiannya menjadikan Jabatan Landskap Negara (JLN) sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk merancang, mengawal selia, melaksana dan menguruskan Taman Persekutuan pertama di Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah JLN, Rotina Mohd Daik, lokasi yang dikenali sebagai Taman
Persekutuan Bukit Kiara (TPBK) itu dibangunkan dengan konsep ‘Park dan Arboretum’ melalui pengekalan ciri-ciri dan karektor asal yang unik serta bernilai tinggi berteraskan sumberjaya landskap sedia ada.

Jelas beliau, antara matlamat pembangunan TPBK adalah bagi menyediakan akses kepada pusat penyelidikan dan pembelajaran alam sekitar bertaraf antarabangsa yang dapat menyokong pengembangan industri landskap dan jaringan kerjasama serantau.

“Selain itu juga, Pembangunan TPBK adalah untuk menjadi sebuah taman rekreasi awam berskala besar yang mampu menampung keperluan riadah pelbagai lapisan masyarakat dengan mengekalkan ciri-ciri semulajadi tapak,” ujarnya kepada Wilayahku pada Rabu.

Melihat kepada usaha inklusif berkenaan, kata Rotina, jabatannya dan beberapa agensi terlibat menggiatkan usaha untuk mewartakan keseluruhan lot-lot tanah di kawasan Bukit Kiara bermula 2009.

Ujar beliau, proses pewartaan adalah bertujuan untuk memastikan sumber semulajadi yang ada kekal sebagai khazanah aset landskap untuk negara di samping dapat memulihara, memelihara serta memperkaya flora dan fauna yang terdapat di taman tersebut.

“Akhirnya, setelah pelbagai tindakan dan usaha dilakukan JLN serta agensi kerajaan lain, sebahagian tanah yang berkeluasan 274 ekar diwartakan sebagi Taman Persekutuan Bukit Kiara pada 9 Mac 2020, baki keseluruhan kawasan pula akan diwartakan selepas beberapa urusan berkaitan selesai.

“Pewartaan itu sudah pastinya memberi faedah kepada penduduk setempat. Ini kerana pengekalan kawasan hijau dan sumber air semulajadi itu bukan sahaja menyediakan akses kepada rekreasi berkonsepkan taman di bandar malahan menjadi habitat pelbagai jenis flora dan fauna.

“Ia sekaligus membolehkan pengunjung khususnya penduduk setempat menyaksikan secara nyata setiap biodiversiti dan khazanah negara,” ujarnya sambil menambah usaha pewartaan mengambil masa hampir 10 tahun.

Dalam pada itu, mengulas tentang pembangunan taman pada masa hadapan, ujar Rotina, Jabatan Landskap Negara sentiasa komited dalam usaha memelihara kawasan landskap semulajadi sebagai aset negara.

Justeru, kata beliau, diharapkan TPBK dapat menjadi contoh dan rujukan kepada pembangunan mahupun pemuliharaan kawasan hijau di Malaysia serta luar negara.

Tambahnya, orang awam juga digalakkan untuk turut terlibat dalam usaha menyediakan persekitaran hidup berkualiti dan mampan.

Carian
Hubungi Kami

Bahagian Taman Persekutuan
Aras 8, Blok F10, 
Kompleks Bangunan Kerajaan Parcel F, Presint 1, 
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62000 PUTRAJAYA.
Tel.: (603) 8091 0500
Faks.: (603) 8091 0672