Carian

Kajian Tanah Dan Cerun

  • March 16, 2021
  • Pentadbir Sistem Utama
  • Kajian Tanah Dan Cerun
  • 376

Tanah merupakan faktor penting bagi menentukan tumbesaran, kesuburan dan keteguhan pokok. Mengenali dan memahami keadaan fizikal dan tahap kesuburan tanah dapat membantu dalam menentukan jenis tanaman yang hendak ditanam, teknik penanaman dan juga pengurusan selepas penanaman. Kajian tanah bagi kawasan TPBK juga penting bagi membekalkan maklumat-maklumat bagi tujuan penjagaan alam sekitar. Pendekatan fizik dan kimia tanah diaplikasi dalam kajian ini.

Kajian tanah di sini melibatkan dua aspek utama iaitu edafologi dan perkaitannya dengan pedologi. Edafologi melibatkan kajian kesesuaian tanah untuk tumbuhan dan organisma, manakala aspek pedologi yang dirangkum dalam kajian ini melibatkan entiti geologi. Batuan granit yang merupakan bahan induk pembentukan tanah di sini muncul di lapisan atas membentuk bonjolan batu yang boleh mendatangkan masalah kestabilan tanah kawasan cerun dan bukit. Tanah adalah satu entiti yang sentiasa berubah dan secara perlahan berkembang mengikut edaran masa. Pembangunan dan perubahan gunatanah, serta perubahan persekitaran boleh memberi perubahan kepada tanah.

Kerja-kerja survei tanah meliputi keseluruhan kawasan TPBK termasuk juga Lembah Kiara. Perlaksanaan survei ini melibatkan jarak di antara 100 m ke 200 m bagi setiap titik ujian tanah, bergantung kepada keadaan dan keperluan di lapangan. Jalan dan denai yang tersedia ada di dalam kawasan projek di gunakan sebagai garis rentis. Bagi kawasan yang tiada denai, kompas digunakan untuk menentukan arah rentis yang telah dirancangkan manakala global positioning system (GPS) digunakan untuk menentukan lokasi bagi setiap lubang korekan dan juga untuk memetakan jalan-jalan yang terdapat di dalam kawasan kajian.

Tanah dikorek menggunakan gerimit sehingga kedalaman 120 cm dan dinilai ciri-cirinya mengikut horizon. ciri-ciri tanah seperti warna, tekstur, struktur, konsistensi, arau (mottling), kedalaman tanah ke lapisan batu, saliran dan kecerunan direkodkan .


Persampelan tanah untuk pencirian mengikut profil menggunakan gerimit



Sampel tanah yang dikeluarkan menggunakan gerimit menunjukkan perbezaan warna horizon tanah.

Tekstur, sama ada lempung, lempung liat berpasir dan seumpamanya, berperanan penting dalam menentukan pertumbuhan dan kekuatan sokongan akar pokok. Warna tanah pula boleh dikaitkan dengan minerologi, kesuburan dan saliran. Kelas saliran akan memberikan gambaran keadaan sesuatu kawasan sama ada berpotensi untuk menakung air, lemah kuasa pegangan air ataupun mempunyai aliran yang sesuai untuk pertumbuhan pokok. Tanah yang dalam pula memberi ruang yang selesa untuk pertumbuhan pokok besar sementara tanah cetek bersesuaian untuk tumbuhan renek.

Segala maklumat yang telah diambil daripada kerja kajiselidik ini akan digambarkan secara lebih jelas melalui Peta Tanah, Peta Terain, Peta Tanah Terain dan Peta Kesesuaian Tanaman.

Bagi kawasan ini, tanah terbentuk daripada luluhawa batuan metamorpik bergred tinggi yang terdiri dari batuan granit. Batuan ini dikenalpasti melalui bonjolan batu di permukaan tanah yang dijumpai di beberapa lokasi di kawasan ini.

 

Bahan induk batuan granit yang boleh di lihat dipermukaan tanah di dalam kawasan TPBK .

 

Bagi kawasan TPBK sebahagian besar kawasan TBPK mempunyai kelas topografi berkecerunan 6° dan ke atas, yang mana 15% Berombak-ombak, 26.% berbukit, 21% sangat berbukit, 13% curam dan 19% sangat curam. Manakala 4% dari kawasan ini mewakili topografi rata dan beralun-alun dan ianya kawasan tasik dan kolam. Rupa bumi curam (13%) hingga terain yang sangat curam ( 19%) merupakan faktor penghad utama bagi penanaman di kawasan ini dan apabila kedua-dua terain ini digabungkan ianya merangkumi hampir 33% iaitu 53 hektar dari jumlah keseluruhan kawasa yang boleh dianggap kawasan berisiko dimana ianya mudah terhakis dan sukar melaksanakan aktiviti pengurusan untuk penanaman. Tidak disyorkan aktiviti pembukaan tanah di kawasan ini di mana dalam keadaan ekstrem, aktiviti ini boleh mencetuskan tanah runtuh kerana keadaan yang terlalu curam.

Sesuai(S)

Bagi kawasan TPBK, didapati 52.4% yang mewakili kawasan seluas 85.7 hektar dikategorikn sebagai Sesuai untuk tanaman. Kawasan ini sesuaia disebabkan kebanyakan siri-siri tanah didalam kawasan ini adalah dalam (> 100sm), bersaliran baik dan letak kedudukannya di topografi diantara rata hingga sangat berbukit (0 – 25o).


Profil tanah dalam (> 100 sm) dan bersaliran baik


Kurang Sesuai (KS)

Seluas 8.8 hektar yang mewakili 4.5% keluasan kawasan ini dikategorikan sebagai Kurang Sesuai. Meskipun siri-siri tanah yang terdapat didalam kawasan ini letak kedudukan ditopografi diantara beralun-alun ke sangat berbukit (2 -25o), namun ianya merupakan tanah sederhana dalam (50-100sm) ke batuan induk. Ini akan menghadkan zon pengakaran pokok yang ditanam nanti. Sesetengah siri yang mewakili kawasan ini mempunyai bonjolan batu (rock outcrop) dipermukaan tanah dan ini juga menjadi faktor penghalang pad tumbesaran pokok. Sekiranya kawasan ini hendak ditanam, disyorkan untuk memilih tanamn yang bersaiz sederhana dimana zon pengakarannya dapat menampung pokok tersebut sehingga usia matang disebab pokok yang terlalu besar akan mewujukan ianya mudah tumbang kerana akar tidak dapat mencengkam (anchorage) jauh kedalam disebabkan tanah sederhana dalam.

 


Tanah sederhana dalam (50-100sm) ke batuan induk


Bonjolan batuan (rock outcrop) dipermukaan tanah



 Pokok tumbang kerana akar tidak dapat mencengkam (anchorage)

Carian
Hubungi Kami

Bahagian Taman Persekutuan
Aras 8, Blok F10, 
Kompleks Bangunan Kerajaan Parcel F, Presint 1, 
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62000 PUTRAJAYA.
Tel.: (603) 8091 0500
Faks.: (603) 8091 0672